Awards

PERTANDINGAN REKABENTUK MALAYSIA 2009, TEMA ‘GREEN DESIGN’

*Artikel ini dimuatkan dalam Infokreatif isu Julai 2010, ISBN 2180-1614

Oleh : Ahmad Azahari bin Mohd Nazar, Pensyarah IDE, FSSR, UiTM Shah Alam.

Setiap tahun, Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) menganjurkan Pertandingan Rekabentuk Malaysia untuk memberi pengiktirafan kepada pereka muda yang menyumbang kepada pembangunan bidang reka bentuk negara. Kategori yang dipertandingkan adalah kategori pelajar sekolah, pelajar universiti dan kategori professional dan ianya terbuka kepada semua pereka dan warganegara Malaysia. Disamping mempromosi dan meningkatkan kreativiti pereka tempatan melalui sumbangan idea kepada sektor perindustrian, pertandingan ini juga merupakan landasan bagi perekabentuk dan pengilang bergabung menerusi konsep produk yang kompetitif dan inovatif serta meningkatkan persaingan industri.

Pada 26 Mac 2010 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Rekabentuk Malaysia 2009 bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Aras 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Pertandingan Rekabentuk Malaysia 2009 dengan temanya ‘Green Design’ yang merujuk kepada kepekaan rekabentuk sesebuah produk terhadap persekitaran dan ekologi telah memberikan peluang pada Jabatan Seni Reka Perindustrian (IDE), FSSR, UiTM Shah Alam untuk menghantar 32 penyertaan kategori pelajar universiti dan 4 penyertaan kategori professional.

Azahari & Siti Beliana
Jabatan Seni Reka Perindustrian (IDE), FSSR, UiTM Shah Alam telah menggondol anugerah tempat ketiga bagi kategori pelajar universiti iaitu daripada pelajar semester akhir 2009, Siti Beliana Md Yatim dengan ciptaannya, alat pemotong cili yang dikenali sebagai ‘Agricutter’. Beliau telah memenangi sijil dan trofi beserta wang bernilai RM4000.00.

Pemenang Saguhati Kategori Profesional
Manakala, dalam kategori professional pula, 2 penyertaan telah diumumkan sebagai pemenang saguhati yang telah membawa balik trofi, sijil pemenang dan wang bernilai RM 4000.00 setiap penyertaan. Penyertaan pertama, dari Cik Natrina Mariane P.Toyong yang merupakan pensyarah IDE dengan ciptaan produk melindungi tanah dari hakisan dan tanah runtuh yang dikenali sebagai “Cradle Web”. Penyertaan kedua pula digondol oleh penyertaan kumpulan dari pensyarah IDE juga iaitu En. Ahmad Azahari bin Mohd Nazar dan En. Mohd Norhan bin Dulkahar dengan ciptaan produk kanopi solar mereka yang diberi nama “e-Bazz Canopy”. Walau Bagaimanapun, tema ‘Green Design” pada Pertandingan Rekabentuk Malaysia tahun 2009 ini tidak ada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga. Hanya pemenang saguhati sahaja yang diumumkan. Tema ini juga boleh ditafsirkan sebagai ‘eco design’ atau rekabentuk untuk persekitaran sebagai seni rekaan objek fizikal. Berdasarkan pencapaian, produk para pemenang akan ditapis oleh MRM untuk dibangunkan dan dikomersialkan selaras dengan RMK10.
Azahari dan Norhan bersama rekaan mereka, E-Bazz Canopy
 MRM juga telah mengumumkan tema Pertandingan Rekabentuk Malaysia 2010 yang telah dirasmikan oleh Y.B Tuan Haji Fadilah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Tema yang diberi adalah “Cultural Creative Industry” from Traditional to Modern Design, merupakan eksploitasi kreativiti seni dan kraf kepada komoditi yang boleh dipasarkan dan mempunyai nilai estetika yang boleh meningkatkan industri rekabentuk produk dan kraf. Jabatan Seni Reka Perindustrian berharap lebih banyak penyertaan akan dipertandingkan dalam pertandingan kali ini, dengan harapan memberi peluang kemenangan pada masa akan datang.



AZAHARI RANGKUL PERAK DI PECIPTA 2009. KLCC, 7-8 OKT 2009

*Artikel ini dimuatkan dalam Infokreatif isu Jan 2010, ISBN 2180-1614

Oleh : Ahmad Azahari bin Mohd Nazar, Pensyarah IDE, FSSR, UiTM Shah Alam.

Ruang Pameran UiTM
di PECIPTA 2009
Pada 8 hingga 10 Oktober 2009 yang lalu, UiTM Malaysia telah menghantar 60 penyertaan dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2009 atau dikenali sebagai PECIPTA 2009 di KLCC (Kuala Lumpur Convention Centre). PECIPTA adalah acara yang berlangsung 2 tahun sekali oleh Kementerian Pengajian Tinggi bersama Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT). PECIPTA 2009 ini adalah acara kali ke lima yang telah diadakan semenjak dari tahun 2001 dan kali ini telah diadakan selama 3 hari untuk penyertaan pameran, ekspo dan persidangan yang bertemakan “Driving Research Innovation Toward Value Creation”. PECIPTA 2009 diadakan untuk mendokong usaha kerajaan dalam aspirasi pembangunan negara dalam sektor penyelidikan dan pembangunan produk dan hasil penyelidikan terbaru. Di samping itu juga, PECIPTA 2009 membuka peluang Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) mempamerkan hasil penyelidikan daripada program-program yang ditawarkan samada yang telah dikomersialkan mahupun masih diperingkat penyelidikan dan pembangunan serta mewujudkan peluang kolaborasi di antara industri dan IPT.

UiTM Malaysia telah merangkul 22 anugerah serta pingat pada PECIPTA 2009 ini. Dengan gabungan UiTM dari seluruh cawangan, UiTM telah meraih 12 anugerah sijil beserta pingat perak dan 10 anugerah sijil beserta pingat gangsa pada pameran kali ini mengikut kategori masing-masing. Salah satu anugerah sijil beserta pingat perak telah diraih oleh seorang penyelidik dan peserta pameran daripada Jabatan Seni Reka Perindustrian, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam iaitu Encik Ahmad Azahari bin Mohd Nazar. Kelayakan penyertaan pameran PECIPTA 2009 kali ini adalah dipilih oleh pihak Research Management Institute (RMI) UiTM berdasarkan kemenangan anugerah pingat perak dan gangsa yang telah dicapai pada penyertaan Pertandingan 6th IID 2009, Januari yang lalu.

Azahari bersama pingat perak yang
dimenanginya
Berbekalkan segulung Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Perindustrian (Kepujian), selepas berkhidmat di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tutor sambilan dan MahaPewter Sdn Bhd sebagai Eksekutif Pereka Produk, beliau ditawarkan berkhidmat di UiTM sebagai Pensyarah Muda di Jabatan Seni Reka Perindustrian pada tahun 2006. Dengan minat yang mendalam dalam bidang akademik dan seni reka perindustrian, pada tahun 2006, beliau telah melanjutkan pelajaran secara sambilan dalam Ijazah Sarjana Teknologi Rekabentuk (MA Design Technology) di UiTM Shah Alam. Kini, Encik Ahmad Azahari bin Mohd Nazar adalah seorang Pensyarah di Jabatan Seni Reka Perindustrian, FSSR, UiTM Shah Alam. Beliau juga berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar di Kampus Puncak Perdana serta memegang jawatan sebagai Penasihat Persatuan Dalaman, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Khas UiTM Shah Alam.

Dengan anugerah Belia bidang Seni Reka Industri dalam Pameran Kecemerlangan Belia Negara pada 2003 yang lalu dan dua catatan rekod baru dalam Malaysia Book of Record pada 2003 dan 2004 yang diperolehi telah banyak mendorong beliau dalam memahami setiap peningkatan serta pencapaian diri. Jesteru itu, beliau mengambil kesempatan dalam hasil penyelidikan dan pengajian beliau untuk sertai dalam pertandingan IID 2009 serta melayakkan diri ke PECIPTA 2009 kali ini. Hasil penyelidikan dalam kategori sains sosial dan kemanusiaan yang dimenangi dalm PECIPTA 2009 ini bertajuk Safety Mobile Phone for Children between 4 to 12 years old, Case Study: Klang Valley .Penyelidikan ini adalah mengenai penghasilan produk baru untuk mencegah dan mengatasi masalah kehilangan kanak-kanak. Tajuk yang didaftarkan dalam Dana Kecemerlangan RMI ini adalah berdasarkan penyelidikan beliau terhadap keselamatan kanak-kanak serta isu kehilangan kanak-kanak sejak dari 2006 hingga kini. Dalam mengatasi delima penggunaan telefon dan keselamatan kanak-kanak, Capsule Phone telah direka khas dengan tujuan mengatasi masalah yang dihadapi. Dengan ini, kebimbangan dalam keluarga khasnya ibubapa terhadap masalah dan keselamatan anak-anak dapat di ambil berat.

Encik Ahmad Azahari berharap agar penyelidik dapat menghasilkan penyelidikan dan penghasilan produk yang bermutu serta dikomersialkan sekaligus dapat memantapkan lagi sektor penyelidikan dan pembangunan selain memartabatkan nama UiTM di persada antarabangsa. Penyelidikan serta kaedah rekabentuk yang dihasilkan dapat memberi pengajaran pada pelajar dalam memahami pencapaian dalam keperluan akademik. Beliau juga berharap agar pada PECIPTA 2011 yang akan datang, UiTM sebagai tuan rumah akan mendapat penyertaan daripada ramai penyelidik serta merangkul anugerah dan pingat emas. Ini membolehkan UiTM mengecapi tahap Universiti Penyelidikan (Research University) pada masa akan datang.